Angkara hutang bekas kakitangan, pekerja sebuah premis memasang cermin kenderaan di Taman Johor Jaya, di sini hidup dalam ketakutan kerana menjadi mangsa ugutan sindiket ceti haram atau ah long.
Pengurus cawangan premis berkenaan, Tay Poi Kiang, 53, berkata, kedai itu menjadi mangsa simbahan cat dan ditampal poster oleh ceti haram tersebut.
Lebih membimbangkan, dakwanya, para pekerja lain ‘direkrut’ secara paksa oleh sindiket ah long berkenaan untuk melakukan kerja-kerja mereka.
“Pada 5 September lalu, ketika pekerja kami mahu membuka kedai, dia mendapati simbahan cat merah di pintu kedai, lantai dan papan tanda kedai selain terdapat beberapa poster yang digantung.
“Setelah diteliti, poster itu adalah daripada sindiket ah long yang mahukan wang pinjaman mereka dipulangkan, tetapi peminjam itu sudah tidak lagi bekerja di sini sejak 2014. Apabila kami maklumkan perkara itu kepada sindiket berkenaan, mereka memberi kami dua pilihan, iaitu bayar hutang bagi pihak peminjam atau tolong sindiket untuk mencari peminjam sehingga dapat,” katanya di sini.
Katanya, sindiket itu memaklumkan, peminjam, Cheah Wei Keong, 32, membuat beberapa pinjaman termasuk wang berjumlah 800 dolar Singapura, namun gagal membuat pembayaran balik.
“Sindiket terbabit turut menyerahkan senarai nama ahli keluarga peminjam, nombor telefon mereka, alamat kediaman keluarga di Pulau Pinang dan nombor pendaftaran kenderaan milik ahli keluarga peminjam.
“Kami hairan kerana sindiket itu sudah mempunyai semua maklumat tersebut, tetapi mengapa masih meminta kami untuk mencari peminjam, sedangkan kami memang langsung tiada berhubung sejak dia berhenti kerja lapan tahun lalu. Dia juga bekerja tidak lama bersama kami, hanya kira-kira 10 bulan sebelum berhenti dan difahamkan dia pernah bekerja di Singapura selepas itu,” ujarnya.
Oleh itu, pihaknya berharap Wei Keong atau mana-mana ahli keluarganya untuk tampil dan menyelesaikan masalah yang timbul antara peminjam dengan sindiket terbabit.
“Kami membuat satu laporan polis berhubung perkara ini dengan harapan tidak lagi diganggu ahli sindiket berkenaan pada masa depan,” jelasnya sambil memberitahu sindiket tersebut mengugut untuk terus membuat kacau di premis tersebut sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.
Leave a Reply