Ringgit merudum, dimana suara menteri, tanya Anwar

Ringgit merudum, dimana suara menteri, tanya Anwar. Presiden PKR Anwar Ibrahim menyerang Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bukan menteri kewangan yang bertanggungjawab.

“Kita pernah melalui krisis ekonomi yang besar (pada 1997). Serangan di Thailand ke atas baht, merudum ekonomi Thailand. Disambung rupiah di Indonesia, merudum Indonesia. Kemudian won di Korea dan kita mendapat tempias yang dahsyat.

“Apa kita lakukan? Kita adakan mesyuarat perbincangan langkah-langkah setiap hari dan rakyat dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil dan langkah-langkah yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.

“Hari ini, seperti saya sebut, merudum ringgit dalam keadaan ekonomi Asia tidak merudum kita merudum dan tidak ada maklumat (daripada menteri kewangan),” katanya.

Anwar berkata demikian di perhimpunan “Rapat Mega Keadilan” pertama parti itu di Taman Melawati, Kuala Lumpur semalam yang berlangsung dari lima petang hingga tengah malam.

Acara itu merupakan siri perhimpunan mega di seluruh negara.

Anwar mengkritik Zafrul sebagai kekurangan jawapan yang boleh dipercayai.

“Di Parlimen, saya malas untuk bertanya banyak soalan kepada Zafrul kerana saya tidak fikir jawapan itu jawapan yang sepatutnya disampaikan oleh mana-mana menteri kewangan yang bertanggungjawab.

“Bila kita cakap soal bank, rakyat susah peniaga-peniaga kecil susah. Dia jawab mempertahankan bank bukan mempertahankan rakyat di bawah.

“Itu pun ada yang orang masih berkata Yang Berhormat! Yang Berhormat!” tambah Anwar, melakonkan seseorang yang bergegas untuk mencium tangan menteri kewangan.

“Menyampah betul. Ini yang saya sebut bangang ini. Bila sebut bangang, (kata) kasar, apa dia kasar?

“Kamu ambil duit rakyat, Kamu curi duit 1MDB, sebut sahaja masalah Mara curi, Felda curi lembu (NFC) pun curi,” kata Anwar yang merupakan bekas menteri kewangan pada tahun 90-an.

Ringgit Malaysia (RM) jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melepasi paras psikologi RM4.50 pada 6 Sept.

Ini adalah kali pertama paras RM4.50 ditembusi sejak Januari 1998, beberapa bulan selepas bermulanya Krisis Kewangan Asia.

Ringgit kehilangan sembilan peratus nilainya jika dibandingkan dengan dolar AS dalam tempoh setahun.

Sikap berdiam diri perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Zafrul berhubung isu itu dikecam oleh pembangkang.

Isu ekonomi

Menyentuh mengenai keadaan ekonomi semasa, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, awal malam tadi, menegaskan apabila Bank Negara menaikkan kadar faedah akibat kehilangan pelabur, rakyat yang menjadi mangsa.

“Rakyat biasa macam saudara-saudari, walaupun saudara-saudari tak tukar duit dalam dolar, walaupun tiada simpanan di luar negara, rakyat biasa menjadi mangsa dengan dua cara, melalui bayaran faedah yang tinggi dan kos sara hidup naik,” katanya.

“Kalau kita ada lima anak, kereta nak kena bayar, minyak nak kena bayar, rumah nak kena bayar, selama ini pun hidup dengan hutang, tambahan bayaran faedah bulan-bulan itu kita kena hutang kredit kad silap-silap kita hutang dengan along,” katanya.

Dia juga menyindir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai “blur”.

“Jadi, nak marah pun tak sampai hati. Umno pun marah dia, PAS pun marah dia, kita pula marah dia. Tapi itu yang menjadi masalah sekarang.

“Kita berhadapan dalam keadaan rakyat terpaksa tanggung kegagalan terhadap pengurusan kerajaan. Bukan sahaja gagal, tapi kita punya ruang untuk kita bertindak itu makin nipis,” katanya.

Demikian katanya ketika merujuk kepada ruang fiskal negara yang semakin menipis.

“Saya sebut semua ini supaya rakyat tahu bahawa semasa kita memasuki pilihan raya, walaupun Najib (Razak), Rosmah (Mansor) sudah (dihukum) penjara, Zahid (Hamidi)… terpulang kepadanya, sama ada dia masuk atau tidak…

“Ismail Sabri, walaupun muka dia kesian, kita kena ingat kita nak tukar kerajaan, bukan sebab nak Anwar jadi PM atau nak bagi jawatan orang kita sendiri dalam kuasa.

“Kami mahu menukar kerajaan kerana kerosakan ini, jika kami tidak memperbaikinya sekarang, kami akan mewarisi masalah itu, yang akan menjadi lebih besar dan lebih besar dalam tempoh lima hingga enam tahun,” kata Rafizi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*