Ibu racun rakan sekelas kerana lebih bijak dari anaknya

Ibu racun rakan sekelas kerana lebih bijak dari anaknya.  Seorang wanita di India didakwa meletakkan racun ke dalam minuman rakan sekelas anaknya kerana cemburu terhadap pencapaian akademik mangsa yang mencatatkan keputusan lebih cemerlang, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Dalam kejadian pada Jumaat lepas di bandar Karaikal, mangsa berusia 13 tahun meninggal dunia selepas diracun suspek yang berusia 42 tahun.

Menurut laporan, suspek menyerahkan sebotol minuman ringan kepada seorang pengawal sekolah untuk diserahkan kepada mangsa ketika acara tahunan sekolah diadakan.

Namun, sejurus pulang ke rumah sekitar pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan), mangsa mengadu kepada ibunya bahawa dia berasa sakit selepas meminum air tersebut.

Selepas dia mula mengalami muntah, kedua-dua ibu bapanya menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke sebuah hospital di Karaikal di mana dia menerima rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah.

Malangnya, keadaan kesihatan kanak-kanak tersebut semakin merosot dan tidak lama selepas dia dimasukkan semula ke hospital pada keesokan harinya, dia disahkan meninggal dunia.

Ibunya kemudian meminta pihak sekolah untuk membenarkan dia memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati bahawa suspek memasukkan sesuatu ke dalam botol minuman sebelum diserahkan kepada pengawal sekolah untuk diberikan kepada anaknya.

Suspek dikenal pasti sebagai ibu kepada salah seorang rakan sekelas mangsa, di mana mereka berdua dikatakan bertengkar disebabkan persaingan dalam akademik.

Dia dilaporkan mahu memastikan anak perempuannya menjadi perhatian ketika majlis tahunan sekolah dan membuat keputusan untuk melakukan sesuatu kepada mangsa ketika acara itu agar pelajar tersebut tidak diraikan.

Suspek kemudian mengaku hanya memasukkan pil julap bagi memastikan mangsa mengalami cirit-birit, namun menurut polis, hasil bedah siasat menemui kesan racun pada badan mangsa.

Suspek dilaporkan telah ditahan dan siasatan diteruskan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*