Hutang judi melambung RM4 juta, Ah Long ugut bunuh anak bongsu

Hutang judi melambung RM4 juta, Ah Long ugut bunuh anak bongsu.   Keluarga pemborong sayuran hidup dalam ketakutan susulan ugutan bunuh Ah Long terhadap anak bongsu mereka yang didakwa berhutang RM4 juta kerana ketagihan judi.

Pemborong sayur-sayuran, Wong Thiam Siew, 60, berkata, dia pernah menggunakan pemadam api untuk disembur kepada Ah Long terbabit kerana tidak tahan diprovokasi kerana keberanian menceroboh kedai milik mereka.

“Anak saya kata dia terbabit dalam aktiviti berkenaan selepas seorang individu dikenalinya menawarkan peluang berjudi dalam talian tanpa membelanjakan sebarang wang.

“Selepas beberapa tempoh, anak saya kalah teruk ketika berjudi sehingga dimaklumkan perlu membuat pembayaran segera atau tidak hutangnya akan berlipat ganda menjadikan keseluruhan bernilai RM4 juta,” katanya menurut Kosmo.

Wong berkata, sindiket berkenaan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengutip wang tersebut, termasuk dengan mengganggu perniagaannya di Jalan Syahbandar, Taman Tun Aminah dan juga gerai menjual sayur di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru.

Katanya, insiden gangguan itu telah berlaku sehingga tujuh kali walaupun anaknya telah melangsaikan bayaran hutang berjumlah RM675,000 kepada sindiket berkenaan.

“Selain itu, sekumpulan lelaki turut bertindak menceroboh kedai memborong sayur kami pada 16 Ogos lalu menyebabkan saya terpaksa menyembur cecair pemadam api untuk menghalau mereka,” katanya.

Katanya, sindiket tersebut masih membuat ugutan bahawa mereka akan terus melakukan provokasi sekiranya hutang anak lelakinya itu gagal dibayar sehingga mengugut akan membunuh anak bongsunya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Utara Rupeah Abd Wahid, berkata kertas siasatan berhubung perkara itu sudah dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih dijalankan dan kami akan berusaha untuk mengesan suspek yang terlibat,” katanya.

Hutang judi melambung RM4 juta, Ah Long ugut bunuh anak bongsu

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*