Tak serik insiden ragut 5 nyawa, Mat motor kembali gegar Pulau Pinang

Tak serik insiden ragut 5 nyawa, Mat motor kembali gegar Pulau Pinang.  Lebih 100 penunggang motosikal dikatakan kembali melepaskan gian menikmati malam hujung minggu di sekitar lokasi pelancongan Pulau Mutiara di sini malam tadi.

Kehadiran mereka dipercayai bagi memeriahkan semula beberapa lokasi panas di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut ketika genap 40 hari tragedi kemalangan maut melibatkan lima penunggang motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 17 Julai lalu.

Video kumpulan mat motor terbabit turut tular di beberapa media sosial termasuk laman Facebook Penang Press sejak pagi tadi dengan memuat naik ciapan: “Kembali Semula Malam minggu? Tidak salah untuk beriadah dan berjumpa bersama kawan-kawan tetapi harap dapat mematuhi peraturan jalanraya dan berhati hati jalan raya.”

Hantaran tersebut telah mendapat 6,900 tontonan, 130 komen, 15 perkongsian dan 353 pelbagai reaksi setakat pukul 11 pagi.

“Serik tu sekejap aje (saja). Kematian itu sekejap aje menginsafkan mereka. Semoga mereka diberi taufik dan hidayah untuk aktiviti yang lebih bermanfaat,” ujar orang ramai.

Sementara itu, seorang anak muda yang mahu dikenali sebagai Achik, 20-an, ketika dihubungi Kosmo! di sini mendakwa, kumpulan motosikal terbabit bukannya anak jati pulau sebaliknya terdiri dalam kalangan orang luar dari negeri ini.

“Rata-rata mereka mai (datang) dari negeri berhampiran dipercayai untuk berkonvoi dan beriadah malam minggu bersama rakan.

“Beza penunggang motosikal dari luar dengan negeri ini adalah pada jenis topi keledar, cara pengubahsuaian motosikal dan jenis motosikal yang kebanyakannya jenis Honda EX5 dan Yamaha 125Z,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*