Rayuan akhir, Najib mahu Ketua Hakim Negara tarik diri

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan permohonan untuk meminta Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Permohonan itu dikemukakan oleh Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib ketika prosiding rayuan dimulakan di Mahkamah Persekutuan di sini, pagi ini.

Menurutnya, permohonan itu sudah difailkan semalam.

“Yang Arif, ia dibuat dengan penuh rasa hormat berdasarkan isu perundangan.

“Arahan kami terima adalah untuk memfailkan permohonan ini,” katanya.

Hisyam turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengemukakan sebarang hujahan kecuali membabitkan permohonan itu.

Ketika ini, panel lima hakim yang diketuai Tengku Maimun memerintahkan Hisyam untuk mengemukakan hujah berhubung permohonannya itu.

Turut bersidang dalam rayuan akhir itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada peringkat ini, panel sudah selesai mendengar hujahan pendakwaan pada Jumaat lalu.

Terdahulu berdasarkan notis usul yang difailkan Najib berkata permohonan itu bukan untuk mengaibkan mahkamah namun dibuat di dalam kepentingan melindungi kebebasan badan kehakiman.

“Pada 17 Ogos lalu terdapat hantaran di Facebook dimuat naik oleh individu bernama Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018 membabitkan diri saya.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa individu Zamani Ibrahim yang dinamakan adalah suami kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Perkembangan baharu ini membimbangkan dalam mengambil kira fakta bahawa Zamani Ibrahim jelas mempunyai pandangan negatif terhadap kepimpinan saya kepada negara ini sebagai seorang perdana menteri.

“Dan beliau menyimpulkan bahawa saya menyalur keluar dana harta negara ke dalam akaun akaun peribadi saya.

“Oleh kerana beliau adalah suami terhadap pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan saya, ada kemungkinan beliau akan mempengaruhi pemikiran pengerusi terhadap tuduhan ke atas kebersalahan saya,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan perkara itu sebarang dapatan diperoleh oleh mahkamah ini terhadapnya dirinya akan diragui pemerhati dan tercemar dengan pandangan awam terhadap kebebasan badan kehakiman diragui.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*