Cuti hujung minggu, ‘tak payah kecoh’, titah Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah buat masa ini baginda mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Johor serta kepentingan rakyat.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu kepada Sabtu dan Ahad.

Cuti hujung minggu, ‘tak payah kecoh’, titah Sultan Johor
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Baginda bertitah, cadangan itu akan diteliti setiap sudut baik buruknya dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi.

“Saya tidak akan tergesa-gesa dalam soal hujung minggu. Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan,” katanya di Facebook.

Pada 14 Jun lalu Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan cuti hujung minggu yang dilaksanakan setiap Jumaat dan Sabtu sejak 2014.

Sultan Ibrahim bertitah, buat masa ini baginda mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Johor serta kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” katanya.

Justeru, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

Titahnya, baginda akan membuat pengumuman apabila berpuas hati dan cukup yakin keputusan diambil itu adalah yang terbaik untuk Johor.

Bermula 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama negeri Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal iaitu Jumaat dan Sabtu, yang dilaksanakan di Johor sejak sekian lama sebagai sebuah negeri Melayu tidak bersekutu.

Johor melaksanakan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai menteri besar.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*