Kenaikan mendadak caj parkir kereta swasta di sekitar Lembah Klang memaksa warga kota mengambil tindakan drastik, termasuk keluar rumah seawal subuh bagi untuk”merebut” parkir awam, dengan ada yang menimbang untuk berhenti kerja.
Di Petaling Jaya, sebuah tapak parkir kereta yang popular dan berdekatan stesen LRT Taman Jaya menyelaras caj parkir yang menyebabkan pengguna perlu membayar RM25 untuk lapan jam berbanding “flat rate” RM6 sebelum ini.
Yuran baharu yang diperkenalkan Selasa lalu menetapkan bayaran RM7 untuk tiga jam pertama dan RM3 bagi setiap jam berikutnya.
Akibat kenaikan mendadak itu, tapak parkir yang sebelum ini penuh dengan kereta pekerja di sekitar kawasan itu, kini lengang.
Seorang pekerja di bangunan pejabat, di tingkat atas pusat beli-belah yang sebelum ini menggunakan parkir berkenaan saban hari berkata, kenaikan itu tidak munasabah.
“Saya tak guna pengangkutan awam sebab kena hantar anak-anak ke rumah pengasuh dan sekolah setiap hari. Saya terpaksa bawa kereta. Tapi caj parkir yang naik mendadak ini sangat membebankan saya. Bayangkan sebelum ini saya hanya bayar RM6 untuk sekali masuk dan sekarang saya perlu bayar RM25-RM30 untuk sehari.
“Kalau macam ini, suku daripada gaji saya habis dekat parkir saja. Tak masuk duit minyak, tol, makan tengah hari dan sebagainya. Ini sangat membebankan,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rose.
Seorang lagi pekerja yang enggan dikenali berkata, beliau menimbang untuk berhenti bekerja kerana “tidak berbaloi” untuk mengeluarkan belanja besar bagi parkir kereta semata-mata.
“Gaji kami kecil, gaji tak cukup untuk bayar ansuran rumah, pinjaman kereta. Pagi dan petang kena menguruskan anak, hantar dan ambil mereka dari rumah pengasuh, jadi terpaksa bawa kereta ke tempat kerja. Tetapi, dengan perbelanjaan tambahan macam ini (caj parkir kereta), baik cari kerja dekat rumah, walaupun gaji tak seberapa,” kata jurujual itu yang bergaji kurang RM3,000 sebulan.
Tinjauan FMT di kawasan berdekatan parkir swasta itu mendapati kemudahan parkir yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) begitu terhad untuk kawasan yang padat dengan pekerja.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan kenaikan mendadak caj parkir swasta yang memaksa pekerja swasta, Mullaimalar Seleplai terpaksa bangun seawal 5 pagi dan bergegas ke pejabat, hanya untuk berebut ruang parkir awam.
“Rumah saya di Klang. Setiap hari saya keluar dari rumah 5.45 pagi dan hanya akan sampai di pejabat sekitar 7 pagi. Ketika itu, parkir di sini sudah hampir penuh. Saya selalu tidur dalam kereta. Ramai orang tidur dalam kereta, sebab kami sampai awal untuk rebut parkir.
“Saya belum ada anak dan situasi kena keluar rumah awal menyebabkan saya dan suami bimbang bagaimana nak menguruskan penjagaan anak dalam keadaan macam ini,” katanya.
Rakan sekerjanya, Choo Hon Nang yang tinggal di Shah Alam juga terpaksa berebut ruang parkir awam bagi menjimatkan kos.
“Saya keluar rumah 6 pagi dan tiba di pejabat 7 pagi. Pejabat belum buka. Jadi, kami yang sampai awal sebab berebut parkir akan sambung tidur dalam kereta. Ini sangat memenatkan,” ujarnya.
Seorang eksekutif syarikat parkir yang mengendalikan tapak parkir itu berkata, caj baharu itu masih “dalam pemantauan”.
“Kami masih memantau dan saya pasti akan ada penurunan caj parkir dalam masa terdekat. Kami difahamkan pengunjung pusat beli-belah ini mengadu sukar untuk mendapatkan parkir sebab pekerja bangunan berdekatan memilih untuk parkir di sini,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memandang berat isu kenaikan caj parkir kereta secara mendadak di beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kenaikan caj parkir ini tidak ada kaitannya dengan inflasi harga barang sekarang. Tak masuk akal kenapa nak naikkan juga caj parkir. Kita nampak mereka (pengusaha parkir swasta) seolah-olah ambil kesempatan,” kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin.
Leave a Reply