{VIDEO} Maki orang awam dianggap keterlaluan, Pegawai Imigresen terima padah

Seorang Pegawai Imigresen yang sebelum ini tular selepas dirakam menghamburkan kata-kata kesat dan menghalau orang awam di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC), Seksyen 14, Shah Alam, Selangor baru-baru ini telah pun ditukarkan serta merta.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan tindakan yang diambil oleh pegawai berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu ‘Integriti, Professional, Mesra’.

{VIDEO} Maki orang awam dianggap keterlaluan, Pegawai Imigresen terima padah
Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

“Walaupun daripada siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur provokasi daripada orang awam berkenaan, namun begitu, tindakan yang diambil oleh pegawai JIM yang terlibat dalam insiden berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan ini.

“Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang Pegawai Imigresen yang merupakan penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, pegawai-pegawai Imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan bersikap professional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi.

“Dalam perkara ini, JIM telah mengambil tindakan serta merta dengan menukarkan pegawai berkenaan ke bahagian lain dan kertas siasatan mengikut peraturan serta prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka dengan segera oleh Bahagian Integriti jabatan ini.

“JIM juga kesal dengan tindakan provokasi oleh orang awam berkenaan. Pelbagai kemudahan telah disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan dalam talian serta pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad,” ujar beliau.

Tambah Khairul Dzaimee, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sosial jabatan tersebut untuk mendapatkan sebarang maklumat terkini.

“JIM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan imej dan kredibiliti jabatan ini,” tegasnya.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 19 Ogos lalu melaporkan tentang insiden kekecohan melibatkan seorang Pegawai Imigresen dan seorang lelaki di kaunter Imigresen UTC, Seksyen 14, Shah Alam.

Kekecohan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku apabila lelaki tersebut difahamkan berang apabila tidak mendapat layanan sewajarnya ketika hadir untuk membuat pasport di fasiliti berkenaan.

{VIDEO} Maki orang awam dianggap keterlaluan, Pegawai Imigresen terima padah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*