Tipu kerja luar negara, 168 rakyat Malaysia masih terkandas. Polis memaklumkan seramai 238 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara termasuk 168 orang yang masih terkandas di luar negara, demikian menurut Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin.
Bagaimanapun, Noorsiah berkata, 70 individu daripada 182 laporan berkaitan kes itu yang diterima pada tahun lalu, berjaya diselamatkan.
“Siasatan mendapati, kebanyakan mangsa terperdaya menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan bayaran lumayan.
“Mangsa tertarik dengan tawaran itu akan menghubungi ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Messenger. Setelah mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan,” katanya menurut Bernama.
Noorsiah berkata, selepas tiba di destinasi, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas dan dimusnahkan.
Beliau berkata, mereka seterusnya dikurung dan dikawal ketat serta akhirnya dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, love scam dan lain-lain penipuan.
“Polis kini bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri, Aseanapol (Polis Negara ASEAN), Interpol (Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa) bagi mengesan dan membawa pulang mangsa yang masih terkandas.
“Ahli keluarga atau kenalan mangsa yang mempunyai sebarang maklumat dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya belum berbuat demikian dan jangan berurusan terus dengan pihak sindiket atau orang yang tidak dikenali,” katanya.
Sementara itu, Noorsiah berkata, menerusi Op Pintas Daya pada 3 Ogos lalu, enam individu termasuk dua wanita warga tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan sindiket sama.
“Semua yang ditahan berumur lingkungan 33 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Turut dirampas adalah telefon bimbit, komputer riba, modem, penghala, pemacu pena dan wang tunai,” katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Pasukan Petugas Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Kementerian Dalam Negeri.
Turut baca :
- Salah guna jawatan: Pensyarah, adik dipenjara 3 tahun, denda RM807,475
- Pendakwaan terpilih : Anwar ‘cabar’ kerajaan buka semula kes zaman PH
- KANTOI | CCTV dedah kelakuan lelaki ini, tonton video lucah sebelum beli
Leave a Reply