Polis mengesahkan menerima laporan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung integriti beliau sebagai pengerusi panel rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Difahamkan, laporan tersebut dibuat bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman di Balai Polis Presint 7, Putrajaya di sini sekitar jam 9.30 pagi pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut dibuat di sebuah balai di Putrajaya di sini dan telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
“Saya sahkan terima laporan tetapi buat masa ini kami tidak boleh dedahkan apa-apa lagi. Kita akan siasat laporan ini dan jika ada perkembangan kami akan maklumkan nanti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu, Hamidah turut berkongsi salinan laporan polis tersebut dalam satu hantaran di Facebook dan memaklumkan laporan itu dibuat berikutan satu hantaran tular berbaur politik dan prejudis terhadap Najib oleh pemilik akaun bernama Zamani Ibrahim.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu percaya bahawa pemilik akaun Facebook tersebut merupakan suami kepada Tengku Maimun telah membuat hantaran yang mencalarkan imej sistem kehakiman negara.
Turut baca
Leave a Reply