Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menyeludup enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar dalam sekatan jalan raya di Persiaran Tun Teja Alam Impian dekat sini, semalam.
Ketika penahanan dilakukan, tiga Pati wanita disumbat dalam but kereta jenis Nissan Teana selepas mereka menempuh perjalanan sejauh hampir 500km dari Kelantan ke Lembah Klang untuk bekerja di Klang.
Dalam kejadian 1 tengah hari, kesemua yang ditahan termasuk lelaki tempatan itu berusia antara 18 hingga 36 tahun.
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 31 tahun itu dibayar upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang Pati yang dibawa dari Kota Bharu untuk bekerja di Klang.
Katanya, upah itu akan diterima daripada individu yang dikenali dengan nama panggilan “Pok Sey”.
“Ketika pemeriksaan dilakukan bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah ini, didapati tiga lelaki warga Myanmar berada di bahagian penumpang belakang manakala tiga wanita disembunyikan dalam but.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya menurut laporan Kosmo.
Katanya, pemeriksaan lanjut dalam beg dipakai oleh tekong darat itu menemui peralatan menghisap dadah.
Tambah beliau, turut ditemukan adalah sebungkus plastik mengandungi 50 biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda.
“Suspek warga tempatan itu direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) manakala enam Pati Myanmar direman 14 hari.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Turut baca
Leave a Reply