Disyaki terima suapan urusan pekerja asing, CEO antara 8 ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat teknologi maklumat kerana disyaki menerima rasuah RM800 hingga RM1,500 sebagai balasan membantu majikan atau ejen dalam proses mendapatkan kuota pekerja asing.

Daripada jumlah itu, seramai enam suspek termasuk dua wanita direman tiga hari manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

“Syarikat teknologi maklumat itu dipercayai penyedia platform bagi permohonan pekerja asing yang dilantik oleh kerajaan dan sudah terlibat dalam memproses kira-kira 345,861 kuota bagi tempoh Mei hingga 29 Jul 2022,” kata sumber.

Menurut sumber itu lagi, ketua pegawai eksekutif syarikat berusia lingkungan 50-an dan seorang pegawai kanannya berusia lingkungan 40-an serta enam lagi suspek ditahan malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Majistret Mahkamah Putrajaya Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan reman tiga hari hingga 5 Ogos membabitkan enam suspek, pagi semalam.

Dua wanita yang direman juga masing-masing berusia lingkungan 40-an bekerja di syarikat agensi pekerjaan, manakala dua lagi suspek lelaki berusia antara 50 hingga 60-an adalah pemilik syarikat agensi pekerjaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan reman tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*