Seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah-Sungai Rokam, berhampiran Medan Gopeng, Ipoh, Perak, malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Chester Voo, berkata kemalangan itu melibatkan pesawat sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia disahkan sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, manakala seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, parah dan dikejarkan ke hospital.
“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8:07 malam. Jenis pesawat yang terlibat adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA berkenaan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Dalam pada itu, jurucakap bomba berkata, kejadian kira-kira 8 malam itu turut membabitkan dua mangsa tersepit dengan kerja-kerja mengeluarkannya masih giat dijalankan.
Pesawat jenis Piper 28-161 dua penumpang dengan nombor pendaftaran 9M-BAA, dikendalikan BATS Aviation Sdn Bhd, yang mempunyai pusat latihan penerbangan, berpangkalan di Lapangan Terbang Ipoh.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, menyifatkan nahas berkenaan sebagai “insiden serius sekolah penerbangan” dan sudah mengarahkan pihak berkuasa penerbangan melaksanakan siasatan menyeluruh.
Rakaman video dan gambar membabitkan nahas itu tular di sosial media memaparkan pesawat berwarna biru dan putih terjunam ke dalam parit.
Dalam pada itu, menurut rakan kepada Fajim yang juga wartawan veteran dan Pengarah Gergasi TV, Syahril Kadir, berkata mangsa merupakan bekas juruterbang MiG-29 bersama tentera udara, berpangkat leftenan kolonel.
Dalam hantaran di Facebook, Syahril berkata, Fajim sebelum ini pernah terselamat dalam insiden jet terhempas, namun terselamat, pada 2005.
Turut baca
Leave a Reply