Budak 9 tahun hilang tiga hari ditemui mati lemas

MAYAT kanak-kanak lelaki ditemui mati disyaki lemas dalam kejadian di Sungai Plentong, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun sejak kelmarin terjawab apabila mangsa ditemui mati lemas di Sungai Plentong, dekat sini, hari semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui pada pukul 11.30 pagi oleh orang awam.

Menurut beliau, semalam, pihaknya menerima laporan polis oleh ibu mangsa yang berusia 40 tahun memaklumkan anak lelakinya itu tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.

“Ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 6.49 petang semalam memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah setelah keluar sejak pukul 3 petang, 29 Julai.

“Namun, pada pukul 11.30 pagi hari ini, Balai Polis Plentong menerima makluman awam bahawa terdapat satu mayat ditemukan lemas di kawasan Sungai Plentong,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut manakala mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*