SEORANG lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dibelasah beberapa individu selepas didakwa mencuri sebuah kenderaan di Kuching, Sarawak.
Rakaman video yang tular di aplikasi WhatsApp itu menunjukkan pemuda OKU berkenaan dalam keadaan ketakutan selepas dibelasah individu tersebut.
Turut kedengaran suara perakam bertanya beberapa soalan pada mangsa.
“Siapa dengan kau mencuri tadi? Siapa yang curi? Kenapa kau takut?
“Apa nama penuh kawan kau?
“Kau bagitahu sekarang, mana kereta yang kau dan kawan kau curi?” katanya.
Kedengaran mangsa menafikan terlibat dalam insiden curi kereta tersebut dan merayu agar tidak dipukul.
“Bukan saya bang, bukan saya.
“Ampun bang, bukan saya. Demi ALLAH bukan saya.
“Tolong jangan pukul,” rayu lelaki OKU tersebut dalam keadaan terketar-ketar.
Namun rayuan pemuda tersebut tidak diendahkan malah beberapa individu terbabit terus memukul dan menendang mangsa di kepala dan muka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan lelaki yang dipukul dalam video itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut atas dakwaan mencuri kenderaan.
“Suspek telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 11 Julai lalu.
“Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kejadian suspek dipukul orang awam,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat lalu.
Dalam perkembangan lain, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching turut mengesahkan telah berjaya menahan seorang individu yang disyaki terlibat dalam video tular tersebut.
Ahsmon turut mengingatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut yang masih dalam siasatan polis.
Turut baca
Leave a Reply