Tipu cek palsu bernilai lebih RM10 juta, bekas pengarah dihadap ke mahkamah

Seorang bekas pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 64 pertuduhan penyelewengan, pemalsuan cek dan penggunaan cek palsu berjumlah kira-kira RM10.65 juta.

Ooi Yee Ling, 46, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 403, 467 dan 471/467 Kanun Keseksaan.

Di mahkamah yang sama, wanita itu didakwa bersama bekas perunding syarikat tersebut Yee Yat Kai, 64, dengan empat pertuduhan memalsukan dokumen mengikut Seksyen 467 dan 471/467 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di bandar raya ini iaitu di RHB Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd serta di premis Syarikat Cergas Amani Bhd dan PVDS Corporate Services Sdn Bhd antara 17 Nov 2017 dan 8 Feb 2018.

Bagi dua kesalahan yang dijalankan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Ooi didakwa menyalahgunakan harta untuk dirinya sendiri, iaitu telah menggunakan cek milik Chan Chee Seng.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Di bawah Seksyen 467 dan 471/467 KK pula, Ooi mempunyai 62 pertuduhan kerana memalsukan cek milik Chan serta menggunakan cek palsu itu dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin dan Siti Aina Rodiah Shikh Md Saud serta kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kenzaly Goik.

Faten Hadni memohon mahkamah menetapkan jaminan RM600,000 terhadap wanita itu bagi kesemua pertuduhan termasuk yang dibacakan secara bersama, manakala jaminan sebanyak RM200,000 terhadap tertuduh lelaki itu yang menghadapi empat pertuduhan.

Namun, Kenzaly Goik merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya Ooi, yang menjalankan perniagaan menjual pakaian tidak mempunyai pendapatan tetap, dan perniagaannya terjejas akibat wabak Covid-19 manakala Yee, seorang ejen insurans, juga tidak mempunyai pendapatan tetap selain mengalami hipertensi.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin terhadap Ooi sebanyak RM60,000 dan RM20,000 terhadap Yee bagi kesemua pertuduhan dihadapi dan kes ditetapkan untuk sebutan semula, pada 19 Ogos.

ipu cek palsu bernilai lebih RM10 juta, bekas pengarah dihadap ke mahkamah
Mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Ooi Yee Ling sebanyak RM60,000 dan RM20,000 terhadap Yee Yat Kai bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 19 Ogos.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*