“Orang kaya kaut untung, pesawah susah…” Anwar bantah Bernas dilanjut monopoli import beras

“Orang kaya kaut untung, pesawah susah…” Anwar bantah Bernas dilanjut monopoli import beras.  Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membidas tindakan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang mempunyai kuasa untuk memonopoli import beras.

Beliau berkata, lanjutan itu perlu dihentikan supaya peladang, petani dan pesawah padi mendapat manfaat langsung.

“Satu syarikat mempunyai monopoli dengan keuntungan ratusan juta ringgit. Mengapa tidak boleh dibantu petani melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) atau pertubuhan-pertubuhan peladang.

“Mengapa diteruskan dasar monopoli memberikan orang kaya mengaut keuntungan padahal kita bicara tentang usaha mengurangkan beban kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat ketika bertanyakan soalan tambahan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee berhubung keputusan lanjutan itu.

Anwar menegaskan kerajaan perlu menghentikan monopoli import beras serta membantah keras dasar yang menguntungkan pemodal dalam keadaan rakyat dan pesawah padi susah.

Sementara itu, Ronald mengulangi keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas sebagai tindakan tepat dalam menampung bekalan beras yang menjadi makanan ruji negara.

Katanya, Bernas juga dipertanggungjawabkan menguruskan bekalan beras dalam negara supaya sentiasa stabil.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju melanjutkan konsesi Bernas bagi pengedaran beras di Malaysia untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan menambah baik peruntukan sedia ada terutama berhubung pelantikan timbalan ketua pengarah kawalselia padi dan beras.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*