Bayi empat bulan maut dilempar monyet liar

Bayi empat bulan maut dilempar monyet liar.  Seorang bayi berusia empat bulan di negeri Uttar Pradesh, India menjadi mangsa seterusnya yang maut selepas dilempar kawanan monyet liar, lapor portal berita MailOnline, semalam.

Peristiwa ngeri itu berlaku di perkampungan pedalaman Dunka, berhampiran dengan bandar Bareilly.

Ketika kejadian, bapa mangsa, Nirdesh Upadhyay berdiri di bahagian teres rumah tiga tingkatnya bersama isteri serta anak lelaki mereka.

Ketiga-tiga mereka sedang menikmati suasana petang di atas teres rumah tersebut apabila kawanan monyet liar memanjat ke atas bumbung dan mengepung mereka.

Selepas gagal menghalau monyet-monyet tersebut keluar, pasangan itu cuba melarikan diri dan masuk ke dalam rumah, namun Nirdesh yang memangku anaknya tersadung, lalu bayi tersebut terlepas dari dukungannya.

Dalam hanya beberapa saat, bayi tersebut disambar oleh salah seekor monyet lalu melemparnya ke bawah rumah.

Bayi lelaki itu disahkan maut di tempat kejadian.

Insiden itu kini disiasat pihak polis. Ketua pemuliharaan bandar Bareilly, Lalit Verma berkata, pasukannya telah dihantar untuk menyiasat penglibatan monyet-monyet itu dalam kematian kanak-kanak itu.

Uttar Pradesh menjadi ‘rumah’ kepada populasi besar monyet rhesus, yang berkeliaran bebas di banyak pekan dan bandar negeri itu.

Walaupun haiwan primat itu secara umumnya boleh hidup dalam keadaan harmoni bersama manusia, sudah beberapa kes dilaporkan di India yang melibatkan kematian kanak-kanak akibat diserang binatang liar itu.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*