Enam kakitangan Radio Era FM, 3 DJ dipanggil Bukit Aman selepas terima 44 laporan

Enam petugas stesen radio Era FM dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk dirakam percakapan berhubung siasatan mengenai dakwaan mempersenda upacara agama Hindu menerusi sebuah klip di TikTok baru-baru ini

Menurut laporan Berita Harian, enam kakitangan itu termasuk tiga penyampai radio stesen terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata enam individu berkenaan dijadualkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi.

“Mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung rakaman video yang didakwa mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial.

Ia selepas laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu.

Difahamkan, pengadu tersebut mendakwa beberapa individu daripada radio terbabit didakwa bersorak perkataan “Vel Vel” manakala seorang lelaki sedang menari.

Semalam, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.

Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut “Vel Vel” disusuli gelak tawa rakan lain.

Terdahulu, video terbabit mencetuskan kemarahan Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula dilaporkan pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*