SPRM rampas RM170 juta, 16kg jongkong emas dari bekas pegawai Ismail Sabri

SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dari premis yang dikaitkan dengan empat bekas pegawai kepada Ismail Sabri Yaakob.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan agensi itu turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta dari lokasi berkenaan.

“Susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai “safehouse”.

“Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss France dan Yuan),” katanya.

SPRM turut mengesahkan Ismail hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan pada 19 Feb lalu.

“SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM berkata pihaknya telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.

Semalam, New Straits Times melaporkan Ismail disoal siasat berkaitan perbelanjaan kerajaan untuk kempen promosi ‘Keluarga Malaysia’ sepanjang tempoh 14 bulan dia menjadi perdana menteri kesembilan.

Menurut laporan itu, Ismail dijangka dipanggil semula untuk siasatan lanjut, dan maklumat awal telah membawa penyiasat mengenal pasti empat bekas pembantunya sebagai orang berkepentingan yang perlu disoal siasat.

Pada 23 Feb, sehari selepas Ismail Sabri dimasukkan ke hospital, dilaporkan empat pegawai yang dikaitkan dengannya direman.

Tiga daripada mereka ditahan selama lima hari bermula Jumaat, manakala individu keempat direman selama tiga hari dan dibebaskan pada 23 Feb.

Turut dilaporkan serbuan SPRM di kediaman salah seorang bekas kakitangan Ismail menemui lebih RM100 juta wang tunai dan barang berharga termasuk barang kemas yang disembunyikan dalam beg dan peti besi di beberapa bilik.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16A Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*