
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lapan individu untuk membantu siasatan penahanan empat pegawai kanan terkait bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bagaimanapun tidak mendedahkan butiran identiti lapan individu itu.
“Kita akan memanggil lapan saksi dalam minggu ini dan minggu depan,” katanya menurut Berita Harian.
Ditanya sama ada Ismail Sabri akan dipanggil untuk membantu siasatan, beliau berkata, SPRM akan memanggil sesiapa saja untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Siasatan sedang berjalan dan saya tidak dapat pastikan bila ia dapat dilengkapkan,” katanya sambil menambah Bahagian Pencegahan Wang Haram sedang meneliti dokumen dirampas membabitkan siasatan kes itu.
Selain Akta SPRM 2009, menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Sabtu lalu, SPRM dilaporkan menahan empat bekas pegawai terkait Ismail kerana disyaki terbabit rasuah.
Menurut laporan, tiga daripadanya termasuk individu bergelar Datuk dibebaskan selepas tempoh reman tiga hari berakhir kelmarin dan seorang lagi dibebaskan Ahad lalu.
SPRM dilaporkan turut menyita wang tunai lebih RM100 juta disyaki ada kaitan dana politik dalam serbuan ke atas sebuah rumah milik bekas pegawai kanan itu.
Baca juga :
Leave a Reply