
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima penjawat awam disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang e-waste di sebuah daerah di selatan tanah air.
Penahanan mereka dibuat susulan tangkapan 18 warga tempatan, Selasa lalu.
Perintah reman selama enam hari sehingga 4 Mac terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Nur Affiqah Radhiah Zainurin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu telah ditahan antara 7 hingga 9 malam semalam di pejabat SPRM Melaka ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati ada antara penjawat awam ini menerima rasuah secara one off antara RM1,000 hingga RM20,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang e-waste ini.
“Dipercayai ada juga antara pegawai ini yang mengutip wang rasuah sebanyak RM12,000 sebulan daripada kilang-kilang e-waste ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.
Baca juga :
Leave a Reply