
Seorang wanita mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kejadian rogol sepupunya yang merupakan remaja bawah umur pada awal bulan ini.
Suri rumah berusia 29 tahun terbabit membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini di depan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah bersubahat dengan suaminya berusia 25 tahun untuk melakukan kesalahan merogol mangsa yang berusia 15 tahun enam bulan.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Marang di antara jam 7.30 malam hingga 1 pagi pada 8 hingga 9 Februari lalu.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2)(c) kanun sama, yang berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.
Bagaimanapun, di mahkamah yang sama, suami tertuduh pula mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan merogol mangsa yang juga sepupu kepada isterinya.
Kesalahan tersebut dilakukan oleh lelaki yang bekerja sebagai buruh itu dalam kehadiran orang lain iaitu isterinya di alamat, masa dan hari yang sama.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Wanita berkenaan dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala bagi tertuduh lelaki itu, tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Bagi tertuduh lelaki, mahkamah menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Baca juga :
Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung
Leave a Reply