
Seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja, mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan kegiatan rasuah dan sindiket pemalsuan dokumen di KLIA.
Insiden ini terbongkar apabila seorang pegawai imigresen lain menganggap tindakan rakan setugasnya yang tidur bukan pada waktu rehat sebagai mencurigakan. Pada laporan polis bertarikh 7 Januari 2025, pegawai itu berkata dia telah diberitahu mengenai seorang pegawai yang tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2.
“Memandangkan waktu itu bukan waktu rehat pegawai dan telah menghampiri waktu pertukaran syif iaitu pada jam 7.30 pagi, saya bertindak pergi mengejutkan pegawai itu.
“Setibanya saya di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2, saya dapati pegawai berkenaan baring di atas kerusi dengan berpakaian seragam lengkap imigresen.
“Oleh kerana baju seragam tidak dipakai dengan baik, saya dapati terdapat buku berbentuk pasport yang diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.
“Saya bertindak mengejutkan pegawai itu dan melakukan pemeriksaan awal.
“Hasil pemeriksaan, saya dapati terdapat 12 pasport pelbagai negara diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.
“Saya kemudian mengambil pasport tersebut dan lapor perkara ini kepada Ketua Imigresen Terminal 2,” katanya pada laporan polis tersebut.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut.
“Kes telah dirujuk untuk tindakan lanjut Jabatan Imigresen,” katanya.
Dah ditukar, belum lapor diri
Bagaimanapun, sumber dalaman Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberitahu pegawai itu telah dipindahkan ke Depoh KLIA.
Namun, sumber berkata pegawai itu masih belum melaporkan diri di tempat tugas barunya.
“Pegawai ini sudah kena tukar ke Depoh KLIA tapi sehingga sekarang masih tidak hadir bertugas,” kata sumber.
Lebih mengejutkan, sumber mendakwa pegawai terbabit masih aktif menjalankan kegiatan ‘pasport fly’ – satu sindiket memanipulasi rekod imigresen.
“Dia masih menjalankan aktiviti passport ‘fly’ dengan ambil pasport daripada ejen kemudian memberi kepada pegawai-pegawai imigresen di KLIA untuk dimasukkan ke dalam sistem dan dicop.
Baca juga :
Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung
Leave a Reply