Wanita pukul budak hingga tersungkur, terhantuk bucu bangku dicekup

Seorang wanita yang disyaki memukul kanak-kanak perempuan sehingga tersungkur dan terhantuk bucu bangku hingga berdarah pada dahi di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, di sini ditahan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pekerja kantin itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi, Arau dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam.

“Mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia empat tahun dan dia didapati mengalami luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, terdahulu pihaknya mengesan hantaran video kira-kira pukul 10 malam tadi menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala kanak-kanak terbabit sehingga terhantuk bucu bangku dan berdarah.

“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.

Sebelum ini dilaporkan seorang wanita dikecam selepas tindakannya memukul seorang kanak-kanak perempuan di hadapan sebuah pasar raya yang dipercayai berlaku di negeri ini tular di media sosial, semalam.

Menerusi satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tular itu, wanita terbabit yang mendukung seorang lagi kanak-kanak dilihat meluru ke arah budak perempuan tersebut sebelum memukulnya.

Dia kemudian menarik tangan kanak-kanak itu dan sekali lagi memukul bahagian belakang sehingga menyebabkan anak kecil berkenaan tersungkur ke lantai.

Kanak-kanak terbabit dilihat bangkit dan menangis sebelum wanita itu bertindak memukul lebih kuat di bahagian belakang badannya.

Pukulan itu mengakibatkan bahagian dahi atau mata kanak-kanak terhantuk pada bucu sebuah bangku di situ sehingga berdarah.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*