PM nafi tarif elektrik naik 14 peratus

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan mengenai kenaikan tarif asas elektrik di Semenanjung sebanyak 14 peratus bermula Julai ini.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa semakan semula kadar tarif elektrik tetap akan dilakukan, dengan kadar baharu yang akan ditentukan selepas proses penilaian selesai.

Menurut Anwar, penyesuaian tarif elektrik adalah sesuatu yang perlu dilakukan berdasarkan kapasiti bekalan dan harga tenaga pada tempoh tertentu.

“Berkaitan isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik bukan 14 peratus. Tidak!

“Seperti yang kita tahu, semakan semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Oleh itu, saya yakin ia tidak akan membebankan atau merugikan masyarakat secara keterlaluan.

“Kami bersedia untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan semakan tarif elektrik ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini, laporan menyebut bahawa tarif baharu dengan kadar asas 45.62 sen sekilowatt-jam (kWj) bagi Semenanjung di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dicadangkan untuk dikuatkuasakan mulai 1 Julai depan.

Bagi tempoh RP3 antara 2022 hingga 2024, tarif asas ditetapkan pada kadar 39.95 sen/kWj.

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Disember lalu menyatakan bahawa sebarang perbezaan kos dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Setakat ini, jadual tarif elektrik semasa yang diperkenalkan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar serta struktur tarif sehingga 30 Jun 2025.

Baca juga :

Sindiket tawaran pinjaman: Ziana Zain kunci mulut bakal disiasat SPRM

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*