Sindiket tawaran pinjaman: Selain Ziana Zain, nama Jalaluddin Hassan turut ‘dipetik SPRM, sedia beri kerjasama

Sindiket tawaran pinjaman: Selain Ziana Zain, nama Jalaluddin Hassan turut ‘dipetik SPRM, sedia beri kerjasama. Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, 71, sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan membabitkan isu syarikat perunding kewangan yang mengikatnya sebagai duta.

Jalaluddin ditemui berkata, beliau bagaimanapun sehingga kini masih belum menerima apa-apa panggilan daripada pihak SPRM berhubung kes itu untuk membantu siasatan.

“Sudah tentu, tiada masalah (untuk beri kerjasama dengan pihak SPRM bagi membantu siasatan). Cuma, setakat ini belum ada sebarang panggilan lagi.

“Apapun, tugas saya hanya sebagai duta saja dengan syarikat perunding kewangan terbabit yang bertanggungjawab menjalankan tugas membuat promosi di media sosial, itu saja.

“Manakala, untuk perkara lain saya tidak terbabit. Malah, selama menjadi duta, saya ‘happy’ melakukannya kerana tidak pernah ada masalah. Tapi, saya terkejut dengan adanya isu ini,” katanya kepada Harian Metro selepas menghadiri majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di ibu kota, di sini, malam tadi.

Ditanya juga sama ada beliau sudah tahu mengenai isu terkait syarikat perunding kewangan itu, Jalaluddin berkata, dia sudah dimaklumkan mengenainya oleh pengasas terbabit.

“Saya sudah diberitahu oleh pengasas syarikat perunding kewangan itu terhadap isu berlaku. Jadi, saya tiada masalah diminta membantu siasatan.

“Apatah lagi, saya diminta jangan bimbang mengenainya kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai duta yang dilantik,” katanya memberitahu kontrak diikat selama setahun.

Sementara itu, Jalaluddin turut menafikan dakwaan kononnya beliau menerima bayaran sehingga RM400,000 sebagai duta.

“Alangkah bertuahnya jika saya dapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, apapun menafikan perkara itu.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” ujarnya.

Terdahulu, nama Jalaluddin disebut-sebut antara selebriti yang bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.

Difahamkan ia adalah usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.

Sebelum ini, Jalaluddin dipilih menjadi salah seorang duta sebuah syarikat perunding kewangan bersama dua lagi duta lain iaitu angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*