TIDAK hanya menipu kononnya sedang hamil, seorang wanita juga berani mendakwa dia diculik, diserang dengan kejam hingga mengalami keguguran bagi mendapatkan perhatian suaminya.
Malah sepanjang perkahwinan mereka, wanita berusia 29 tahun itu juga mendakwa dia seorang jururawat.
Penipuan itu bagaimanapun terbongkar apabila suaminya berusia 52 tahun menghubungi polis selepas tiba di rumah dan mendapati isterinya berlumuran darah.
Wanita itu memberitahu polis dia diserang dengan kejam oleh dua lelaki dan seorang wanita.
Mereka didakwa mengikatnya, menutup matanya dengan kain dan memaksanya masuk ke dalam kenderaan sebelum memukul perutnya berulang kali sehingga menyebabkan keguguran.
Dia mendakwa tidak dapat mengenal pasti motif serangan itu dan menegaskan tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa.
Wanita itu memaklumkan dia memandu pulang sebelum menghubungi suaminya.
Dia dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan lanjut.
Tanpa diduga, pasukan perubatan di Hospital Ratchathani di Thailand itu mengesahkan bahawa wanita itu tidak hamil dan tidak mengalami keguguran atau sebarang serangan seperti didakwa.
Wanita itu akhirnya mengaku kepada polis dan suaminya bahawa dia sengaja mengada-adakan keseluruhan cerita kerana berasa diabaikan dan mengesyaki suaminya curang terhadapnya.
Malah, dia juga mengaku tidak bekerja sebagai jururawat dan pakaian seragam jururawat yang dipakainya setiap hari dibeli secara dalam talian.
Selain itu darah yang digunakan bagi ‘menghidupkan’ jalan ceritanya juga merupakan darah babi.
Suaminya dilaporkan terkejut apabila mengetahui kebenaran selain kecewa isterinya tidak hamil.
Namun begitu, lelaki itu bertegas bahawa dia sanggup memaafkan isterinya jika wanita berkenaan berjanji untuk berubah dan tidak akan mengulangi perbuatannya.
Baca juga :
Anwar bidas pengkritik, perlekeh langkah Malaysia bantu Gaza
Leave a Reply