Kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak berbau fitnah, berpotensi cetus ketegangan kaum dan agama – Mujahid

Saya merujuk ucapan Pesuruhjaya PAS YB Razman Zakaria baru-baru ini yang juga ADUN Gunung Semanggul Perak. Ada beberapa kenyataannya yang berbau fitnah berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negeri Perak.

YB Razman Zakaria menjadikan isu Kerajaan Perpaduan Perak yang telah dibentuk sejak 3 tahun lalu sebagai bahan ucapan kebencian dengan melabelkan Kerajaan Perpaduan hari ini dikuasai “bangsa DAP” yang kononnya membuat keputusan-keputusan merugikan Islam dan orang Melayu.

YB Razman sedia maklum bahawa Kerajaan Perpaduan dibentuk atas persefahaman politik antara BN PH atas persetujuan masing-masing untuk menstabilkan keadaan setelah semua blok parti gagal mendapat majoriti. Persefahaman BN-PH adalah atas syarat utama iaitu menjaga Islam dan kebebasan beragama bagi yang bukan Islam serta menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu. Asas ini menyatukan semua komponen kerajaan perpaduan di Perak. Jadi tidak timbul soal Islam dan Melayu dipinggirkan malah ia menjadi komitmen semua komponen dalam blok Perpaduan.

Soal pembahagian kuasa tertakluk pada persetujuan yang saya selaku Pengerusi PH menandatanganinya bersama YAB Muhammad Saarani selaku Pengerusi BN. Antara lainnya ialah MB dan Speaker dari UMNO manakala pembahagian exco mengikut format yang dipersetujui berpandukan kerusi yang dimenangi. Akhirnya DAP mendapat 4, PKR 2 dan AMANAH 1 manakala BN mendapat 3. Tidak timbul soal perkauman di sini tetapi atas persefahaman menstabilkan kepentingan rakyat Perak.

Lebih penting Kerajaan Perpaduan direstui Paduka Tuanku Perak setelah saya dan Saarani menandatangani perjanjian, petangnya upacara angkat sumpah MB berlangsung manakala esoknya angkat sumpah exco yang telah dipersetujui kedua belah pihak. Perjanjian ini tidak ada kena mengena dengan memberi ruang kepada “bangsa DAP” tetapi perjanjian berprinsip dan berpandukan semangat perlembagaan negara.

Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Teh telah mendustakan penyokong PAS dan pengundinya tentang penjualan arak terbuka seolah kerajaan hari ini merelakannya. Walhal YAB MB menegaskan supaya kajian lanjut dibuat tentang kesan jualan arak terbuka di premis majlis daerah tempatan masing-masing khususnya di bawah seliaan MBI. Di mana keputusan jualan arak terbuka ditentukan oleh DAP?

Saya sarankan kepada pengikut dan pengundi PAS janganlah termakan fitnah keji ini kerana Pak Teh hanya menggunakan sentimen jahat perkauman dan agama untuk mendapat laba politik dengan menipu pengundi dan pengikut PAS. Rekod Pak Teh berbohong dan kemudian meminta maaf adalah satu testimoni apa yang saya nyatakan di sini. Rugilah pengundi PAS di Perak mendokong pembohongan, penipuan dan fitnah sehingga menggugat kestabilan yang dibina selama ini untuk kebajikan dan kesejahteraan orang Perak.

ADUN PAS pula tidak berfungsi membela atau mengkritik dasar-dasar yang membangunkan rakyat Perak melainkan bermain politik persepsi perkauman agama dan kaum dan mendokong fitnah kepimpinan PAS. Umat Islam di Perak memilih kestabilan, kemakmuran dan menolak fitnah, kebencian yang dibawa PAS. Saya selaku Pengerusi PH menyeru rakyat Perak menolak kerusi-kerusi PAS yang dimenanginya dan memberikan peluang kepada calon Melayu PH dan BN untuk mengukuhkan lagi kestabilan yang dinikmati.

YB Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi PH Perak
Ahli Dewan Negara

Baca juga :

Makanan biasa-biasa tapi harga cekik darah!

Isteri ‘takut’ tengok suami tiba-tiba solat, syak berlakon jadi baik

Mak suruh kahwin awal, suami cuma balik tuntut nafkah batin… Wanita kongsi kisah sedih

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*