Harga cekik darah! Itu yang boleh digambarkan ketika mengunjungi festival makanan apabila harga jualan dilihat tidak masuk akal sedangkan kualiti biasa-biasa saja.
Kalau bawa wang RM50, mungkin dapat membawa balik dua atau tiga jenis makanan sahaja disebabkan rata-rata makanan harga belasan dan puluhan ringgit, malah ada mencecah RM50 untuk satu jenis makanan.
Minuman pula, satu cawan dijual sehingga mencecah RM10. Kalau minuman premium, harga boleh mencecah RM15 ke RM18 bergantung kepada peniaga dan jenis minuman.
Itu belum sentuh peniaga mengikut trend terkini dengan jual perkataan seperti homemade, resipi turun-temurun, premium, tular atau cheese, automatik harga makanan menjadi mahal hingga kadangkala tak tercapai dek akal.
Baru-baru ini, penulis berkunjung ke sebuah festival makanan. Sengaja mahu melihat suasana dan makanan dijual di situ. Ramai mengeluh dan kecewa dengan harga makanan dan minuman di festival tersebut mahal.
Ternyata peniaga terutama pempengaruh atau artis menjual makanan, minuman atau pencuci mulut premium. Harga makanan mereka seperti T20 tetapi kualiti makanannya boleh dianggap marhaen saja. Tiada elemen ‘wow’.
Penulis membeli donut tular yang didakwa resipi turun-temurun, satu set mempunyai empat biji termasuk air kopi. Harga hampir cecah RM30.Tapi bila rasa donut tersebut, keras dan tidak berkualiti. Boleh katakan banyak lagi makanan pasar malam jauh lebih enak dan murah berbanding festival makanan.
Tapi mungkin ada yang tidak setuju pendapat penulis kerana mungkin sewa tapak festival lebih mahal berbanding pasar malam. Ini tidak dinafikan namun jangan normalisasikan harga makanan di festival perlu mencanak-canak, mahu dapat untung besar hingga menjadi ikutan peniaga lain.
Sebagai pengguna pula, kita perlu bijak bandingkan harga, pilih makanan berkhasiat, berkualiti, tak perlu terlalu taasub untuk cuba makanan-makanan tular, hingga perlu beratur panjang, buat content, laparkan like, sekali gus menjadi trending di media sosial.
Tidak perlu menunjuk-nunjuk yang kita kaya di mata orang lain dengan membeli harga kayangan premium, sedangkan kualitinya tiada. Beli harga premium tetapi kualiti bombastik, ibarat alah beli menang memakai.
Baca juga :
{VIDEO} CCTV ‘dedah’ lelaki pindahkan bagasi berisi tubuh teman wanita
Leave a Reply