SEPASANG kekasih ditahan polis selepas disyaki menyembunyikan kelahiran hingga menyebabkan kematian bayi mereka dalam kejadian di Telok Kemang, Negeri Sembilan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pasangan kekasih berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Telok Kemang dan Port Dickson.
“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan menemui bayi berkenaan disembunyikan di dalam sebuah beg dalam bilik di sebuah rumah di Taman Intan Perdana, Jalan Kemang, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Maslan, bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan cukup sifat tetapi disahkan meninggal dunia.
Pemeriksaan terhadap bayi itu turut mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada dipercayai akibat objek tajam.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan siasatan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bertindak menahan kedua-dua suspek pada hari yang sama.
“Remaja perempuan yang bekerja di restoran makanan segera dan teman lelakinya yang merupakan penganggur ditahan antara pukul 9.30 hingga 9.45 malam.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk uri, pakaian, telefon bimbit dan sebilah pisau bagi membantu siasatan.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa takut dan bimbang terhadap reaksi keluarga berhubung kelahiran bayi berkenaan.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca juga :
Tiada pihak pukul suami datang minta maaf, tetap teruskan saman, kata isteri lelaki OKU
{VIDEO} Abang rider bikin konvoi motosikal berkuasa tinggi ‘koyak’, selamba potong dilaluan mencabar
Leave a Reply