Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini, Jumaat lalu direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman sehingga Rabu itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini.
“Setakat ini, lima lelaki berusia 18 tahun hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ini. Tiga saksi awam turut dipanggil untuk diambil keterangan dan polis melakukan siasatan secara telus serta akan mengambil tindakan kepada individu terlibat,” katanya.
Media sebelum ini melaporan, lelaki OKU berusia 47 tahun itu cedera dipukul beberapa individu selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah sebuah gerai jualan di pasar tani itu menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.
Baca juga :
Leave a Reply