Gagal ujian brek punca staf Puspakom ditampar pelanggan

Siasatan Puspakom berhubung kejadian kakitangannya ditampar oleh pelanggan yang tular baru-baru ini mendapati suspek bertindak demikian selepas gagal dalam ujian brek.

Dalam kejadian itu, suspek berkenaan menyerang pemeriksa kenderaan yang terlibat.

“Kegagalan dalam ujian pemeriksaan berkala kami adalah petunjuk bahawa kenderaan tersebut tidak selamat digunakan di atas jalan raya.

“Sepatutnya pelanggan yang menerima keputusan pemeriksaan seperti ini mengambil iktibar dan segera membaiki keadaan kenderaan demi keselamatan mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, bukannya bertindak agresif menyerang kakitangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman.

Pada Jumaat (17 Jan), Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat mengesahkan kejadian itu berlaku pada 5.40 petang , 14 Nov tahun lepas di Taman Daya, Johor Bahru

Suspek adalah seorang lelaki berusia 28 tahun yang lorinya gagal dalam pemeriksaan.

Polis berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sengaja.

Sementara itu, Mahmood memuji mangsa kerana sikap profesional mereka dalam kejadian itu.

Tambahnya, Puspakom tidak bertolak ansur dengan kelakuan sedemikian dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis untuk memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap pelaku.

“Pada masa ini Puspakom sedang mengharungi pelbagai cabaran dalam pelbagai aspek. Pemeriksa kenderaan kami dicemuh, dan dikeji terutamanya di media sosial tetapi kejadian ini menunjukkan Puspakom masih lagi dipenuhi dengan kakitangan yang profesional dan berintegriti.

“Saya yakin majoriti kakitangan Puspakom mempunyai nilai sebegini dan berpegang teguh kepada misi kami, iaitu untuk menjadikan pengangkutan di jalan raya lebih selamat,” katanya.

Baca juga :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*