Seorang veteran PKR memberi amaran ‘amat bahaya’ sekiranya pemimpin semasa Perikatan Nasional (PN) dibenarkan mentadbir negara semula, susulan tindakan mereka yang menurutnya ‘membunuh demokrasi’ ketika wabak Covid-19.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim lebih dikenali dengan panggilan Pak Hassan menyifatkan tindakan mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan menggantung Parlimen sebagai ‘pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan’.
Katanya, tiada seorang pun pemimpin semasa Bersatu dan PAS layak memimpin negara, berikutan kenyataan baru-baru ini yang mencadangkan pemimpin kedua-dua parti itu sebagai calon berpotensi untuk menjadi perdana menteri.
“Pertimbangan saya terhadap keupayaan dan sikap bertanggungjawab pemimpin Bersatu dan PAS dalam menguruskan negara mungkin berubah jika (mereka) berupaya mengemukakan barisan pemimpin baharu yang lebih rasional, amanah dan bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Mengenai pemimpin PN semasa, Hassan berkata: “Kesalahan mereka yang saya sukar maafkan hingga sekarang adalah PN mengisytiharkan darurat seluruh negara dan menggantung Parlimen selama enam bulan (ketika wabak).”
“Selagi Bersatu dan PAS dipimpin oleh generasi lama yang bertanggungjawab membunuh demokrasi dengan menggantung Parlimen dan menutup jalan ke sana dan mengisytiharkan darurat di seluruh negara, maka selagi itu amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang ada rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia ini.”
Awal minggu ini, empat pemimpin PN disebut-sebut sebagai calon berpotensi menjadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menamakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin; Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar; dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ulama PAS Mokhtar Senik kemudian turut mencadangkan presiden parti itu, Hadi Awang sebagai seorang lagi calon berpotensi.
Ketika wabak Covid-19 melanda negara, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin mencetuskan darurat di seluruh negara dari Januari hingga Ogos 2021. Keadaan darurat itu memberi kerajaan kuasa yang luas untuk menggubal undang-undang dan dasar tanpa kelulusan Parlimen.
Kerajaan Muhyiddin, dan kerajaan berikutnya pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan sekatan pergerakan orang ramai di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak.
Baca juga :
Leave a Reply