Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan seorang lelaki dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak lelaki tirinya yang berusia dua tahun pada 2019.
Panel tiga hakim diketuai Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan terhadap Mohammad Sofiyuddin Abu Bakar, 34, daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi hukuman penjara 16 tahun enam bulan ke atas tertuduh.
Ketika menyampaikan keputusan yang dibuat secara sebulat suara semalam, Zaidi berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana meminda pertuduhan terhadap Sofiyuddin.
Turut bersidang Hakim Azizul Azmi Adnan dan Kamal Md Shahid.
Panel itu memerintahkan Sofiyuddin menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 26 Mei 2019.
Sofiyuddin pada asalnya didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul Epindi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Yan-Guar Chempendak, Guar Chempedak, Kedah, antara 7.30 hingga 8 malam pada 25 Mei 2019.
Berdasarkan fakta kes, ibu kanak-kanak itu telah meninggalkan anaknya di bawah jagaan Sofiyuddin ketika dia pergi bekerja pada hari berkenaan.
Sofiyuddin yang diwakili peguam Ai Cha Ran dan Surachetth Jotsuwan, mendakwa kanak-kanak itu terjatuh dari meja ke lantai dan dumbel, namun hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma tumpul pada abdomen dan kecederaan dialami kanak-kanak itu tidak konsisten dengan kejadian jatuh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.
Baca juga :
Leave a Reply