Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai akan menahan lebih ramai pegawai bank yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan sebuah organisasi perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, fokus siasatan ketika ini tertumpu kepada dalang utama sindiket berkenaan yang telah ditahan reman, semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu membantu memohon pinjaman daripada pelbagai bank tetapi mengambil komisen setelah pinjaman itu diluluskan.
“Sindiket akan mengambil sekitar satu peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan dan dibahagikan kepada mereka yang terbabit, termasuk pegawai bank.
“Kita tidak tolak kemungkinan lebih ramai yang terlibat dalam kegiatan ini. Namun, buat masa ini kita masih teruskan siasatan dan masih terlalu awal untuk buat konklusi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank di beberapa institusi kewangan, kelmarin.
Difahamkan, pembongkaran itu dilakukan di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang dengan melibatkan penahanan seramai 12 individu.
Kesemua suspek ditahan dalam Op Sky yang dilaksanakan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa institusi kewangan di Lembah Klang.
Semalam, 12 suspek termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan telah ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Baca juga :
Leave a Reply