TUMPAT – Tindakan pantas dua remaja berjaya menyelamatkan seorang bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dipercayai mengalami tekanan hidup daripada terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.
Wanita berusia 43 tahun yang merupakan ibu tunggal itu dilihat cuba memanjat penghadang jalan di jambatan tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Saksi yang menyelamatkan wanita itu yang dikenali sebagai Hafiz berkata, dia bersama rakannya terpaksa bergelut dengan wanita itu dan meminta pertolongan orang ramai.
Menurutnya, semasa sedang dalam keadaan cemas, seorang anggota polis yang melalui kawasan berkenaan berhenti dan membantunya.
“Anggota polis itu turut memujuk wanita dan memaklumkan kesan yang bakal dihadapi keluarga sekiranya dia nekad untuk terjun ke dalam Sungai Kelantan.
“Wanita itu kemudian meronta-ronta untuk dilepaskan. Tidak lama kemudian, dia melupakan hasratnya untuk terjun dari jambatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Hafiz memberitahu, difahamkan, wanita itu berasal dari Kampung Kok Pasir, Kota Bharu dan menetap di Kampung Padang Tembesu di sini selepas bercerai dengan suaminya kira-kira setahun lalu.
Menurutnya, ibu tunggal itu turut memaklumkan bahawa dia mengalami masalah tekanan perasaan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara anaknya.
“Wanita itu turut berpesan kepada anaknya mengenai wang simpanan yang ada di rumah dan kelengkapan penting menerusi pesanan WhatsApp,” ujarnya.
Tambahnya, mamgsa dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu di sini oleh anggota polis terbabit untuk tindakan lanjut.
Baca juga :
- 3 maut, 6 parah nahas empat kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan
- Misteri air berwarna merah jambu di Sungai Kabul akhirnya terjawab
- Guru didakwa cabul dua pelajar lelaki berusia 16 tahun
Leave a Reply