Anak kepada Abdullah Ahmad Badawi menafikan memberitahu anak Dr Mahathir Mohamad bahawa gilirannya telah tiba untuk memperkayakan dirinya menggunakan kedudukan bapanya sebagai perdana menteri.
“Saya menafikan sepenuhnya. Saya tidak pernah berkata sedemikian dan saya juga tidak melakukan perkara sedemikian,” kata Kamaluddin Abdullah dalam catatan Instagram lewat malam tadi.
Kamaluddin menyorot bahawa Mahathir, yang satu ketika memilih Abdullah untuk menggantikannya sebagai perdana menteri pada 2003, sedang “marah dan kecewa” dengan banyak hal.
“Mahathir jelas sangat kecewa dan sangat marah dengan banyak perkara terhadap ramai orang,” katanya.
Kamaluddin bagaimanapun tidak membalas serangan Mahathir dan sebaliknya menyeru orang ramai mendoakan bekas perdana menyeri itu yang akan mencecah usia 100 tahun ini.
“Yang terbaik yang boleh kita lakukan ialah mendoakan kesejahteraannya dan berharap pada usia senjanya, dia mendapat ketenangan dengan dirinya sendiri,” tambahnya.
Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Mahathir mendakwa bahawa dia terkejut apabila mengetahui daripada anaknya tentang perbualan yang didakwa dengan anak Abdullah.
“Mereka (penggantinya) percaya semasa saya menjadi perdana menteri, saya menyalahgunakan kuasa dan korup. Anak Abdullah memberitahu anak saya, ‘Sebelum ini giliran kamu, sekarang giliran kami’. Giliran untuk apa? Untuk mencuri wang. Saya terkejut,” katanya.
Mahathir mengeluh bahawa daripada menumpukan kepada memimpin dan membina negara, “mereka melihat kuasa perdana menteri sebagai cara untuk memperkayakan diri mereka sendiri”.
“Pada peringkat itu, saya menyesal kerana meletak jawatan sebagai perdana menteri (pada 2003),” tambahnya.
Selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri buat kali pertama pada 2003, Mahathir memilih Abdullah sebagai penggantinya, namun kemudian sering tampil mengkritik kepimpinan Abdullah.
Abdullah, yang terpaksa melepaskan jawatannya selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008, diserang tanpa henti oleh Mahathir sepanjang satu penggalnya memegang jawatan.
Dalam bukunya bertajuk Awakening in 2013, Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, membidas Mahathir.
“Saya tidak suka apa yang Mahathir lakukan. Saya memberi Mahathir peluang untuk memberikan pandangannya kepada saya. Saya pergi berjumpa dengannya tetapi dia memilih untuk mendedahkan kepada umum dalam serangannya terhadap saya dan pentadbiran saya.
“Mahathir tidak boleh menafikan beliau menyumbang kepada penghakisan sokongan BN pada pilihan raya umum 2008 melalui kritikan dan serangannya yang terbuka dan tidak wajar.
“Memanggil pentadbiran saya, yang termasuk majoriti dari kabinetnya sendiri, sebagai ‘half-past-six’ (tidak cekap) dan menuduh kami melakukan rasuah serta segala macam perkara,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply