“18 tahun saya menanti kehadiran Aieman dalam hidup kami tidak sangka dia akan pergi dahulu,” luah Masanah Buyong, 60 ibu kepada Aieman Azriq Ahmad, 22.
Aieman Azriq merupakan antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan Toyota Vios dinaiki dengan sebuah lori di Jalan Batu 3, di sini tengah hari tadi.
Kemalangan itu turut meragut nyawa isterinya Nur Fazilah Noor Azmi, 22, bayi mereka Aryan Khalif berusia lima bulan serta rakan mereka, Mohammad Rasyid Razali, 18.
Masanah berkata, Aieman Azriq adalah anak nombor tiga daripada empat beradik menetap bersamanya di Kampung Temenin Baru di sini.
Katanya, pada awalnya dia mendapat tahu kejadian kemalangan itu daripada kumpulan WhatsApp keluarga yang memaklumkan anaknya terlibat nahas tersebut.
“Seorang lagi menantu lain kemudian hubungi saya sambil menangis menyuruh saya ke lokasi kejadian. Bila buka balik WhatsApp keluarga saya lihat mereka beritahu cucu saya sudah meninggal dunia.
“Kali terakhir saya berjumpa anak, menantu dan cucu pada malam tadi. Biasanya isterinya balik kerja pukul 6.30 petang dan ambil anaknya di rumah pengasuh. Malam tadi mereka keluar namun saya tidak tahu mereka ke mana,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.
Katanya, hasil perkahwinan Aieman Azriq dan Nur Fazilah, mereka dikurniakan dua anak dengan yang sulung lelaki berusia tiga tahun.
“Anak sulung arwah memang rapat dengan saya dan suami kerana kami bela dan jaga, kadangkala nenek datuk sebelah menantu ambil bawa balik ke Pasir Gudang.
“Biasanya jika ibunya tidak ada, cucu saya akan minta datuknya buat ‘video call’. Namun pada tengah hari tadi, ia tidak berjawab dan tak sangka pula, mereka terlibat kemalangan,” katanya.
Jenazah tiga beranak itu akan disemadikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin di sini.
Baca juga :
Leave a Reply