Reman pengurus akaun sebuah badan berkanun di Perlis disambung tiga hari mulai esok bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan menyeleweng kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah sambung reman terhadap wanita dalam lingkungan 30-an itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar, Nurshahida Abdul Rahim.
“Seorang lagi petugas wanita badan berkanun itu dalam lingkungan 40-an yang ditahan bersama pada Selasa lepas (7 Jan) dan direman hingga hari ini, dilepaskan dengan jaminan SPRM,” kata sumber.
Rabu lalu, media melaporkan SPRM menahan dua petugas sebuah badan berkanun di Perlis, termasuk seorang pengurus akaun kerana disyaki salah guna kuasa dan menyeleweng kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.
Menurut laporan, dua wanita itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2020 hingga 2024 dan SPRM Perlis turut menyita serta merampas barangan mewah termasuk barang kemas kira-kira RM100,000 yang disyaki diperoleh daripada hasil perbuatan terbabit.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan sambungan reman yang berakhir hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Baca juga :
Leave a Reply