Anggota polis berusia 26 ditemui mati tergantung

Seorang anggota polis ditemui meninggal dunia dalam keadaan leher tergantung di sebuah premis di kawasan Pekan Bharu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mayat penjawat awam berpangkat konstabel berusia 26 tahun itu dijumpai orang awam sebelum melaporkan kepada polis pada pukul 2.15 petang.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki terbabit di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kecederaan lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat pada pukul 6 petang bagi mengetahui punca kematiannya.

“Hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian lelaki itu adalah disebabkan oleh ‘neck compression due to hanging’,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu dipercayai mengalami masalah kemurungan.

Katanya, siasatan di bawah laporan mati mengejut sedang dijalankan dan setakat ini, tiada sebarang unsur perlakuan jenayah atau foul play dalam kes berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberi keterangan kepada Ketua Polis Balai Pekan Bharu, Inspektor Azrene Shazwani Abd. Manap di talian 019-2702236 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*