Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Urus Setia Lembaga Pengampunan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail rasmi pihak mereka.
BHEUU dalam satu kenyataan berkata, JPM juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada Istana Negara berhubung perkara berkenaan.
“Sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah itu penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya hari ini.
Jelas kenyataan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) juga tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
“Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi.
“Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh Ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh lembaga tersebut.
“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan mempunyai akses kepada dokumen-dokume tersebut sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.
Selain itu, BHEUU JPM sebagai Urus Setia Lembaga Pengampunan juga tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan.
Ia kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Baca juga :
Leave a Reply