Dua kakitangan sebuah badan berkanun di Perlis termasuk seorang pengurus akaun direman selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan seleweng wang untuk kegunaan peribadi bernilai kira-kira RM600,000.
Perintah reman empat hari hingga 11 Jan dikeluarkan Mahkamah Majistret Kangar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi semalam.
Sumber berkata, kedua-dua suspek wanita berusia antara 30 dan 40-an ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2024.
“SPRM Perlis juga telah menyita dan merampas barangan mewah termasuk barangan kemas berjumlah kira-kira RM100,000 dipercayai diperoleh hasil perlakuan jenayah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, SPRM akan melihat aspek tatakelola jika wujud kelemahan sistem dan prosedur berkaitan pengurusan terimaan dan perbelanjaan di badan berkanun tersebut bagi menutup ruang dan peluang berlaku salah guna kuasa.
Baca juga :
Leave a Reply