Dilabel musuh Islam, Tengku Maimun bidas pengkritik

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang akan bersara wajib pada Julai ini, mengingatkan mereka yang mmfitnahnya sebagai musuh Islam bahawa “Allah adalah hakim yang sebenar.”

“Saya dikritik, difitnah, dilabel sebagai tidak Islam atau musuh Islam, dan suami saya (secara tidak adil) digunakan terhadap saya dalam beberapa permohonan bukan saja untuk meminta saya diketepikan (bagi mengadili perbicaraan) tetapi secara lebih umum untuk memalukan saya dan rakan saya.

“Tiada satu pun daripada mereka yang akan atau pernah dapat menembusi ujian hati nurani saya dan segala puji bagi Allah, saya tidak pernah bimbang disebabkan komen-komen ini,” katanya pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Tengku Maimun merujuk kepada reaksi terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan tahun lalu, yang memutuskan 16 peruntukan jenayah syariah Kelantan terbatal kerana melampaui kuasa negeri dan tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan undang-undang dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sahaja asasnya. Namun, anda pasti menyedari bahawa sesetengah pihak memutarbelitkan keputusan itu sehingga kelihatan seperti badan kehakiman atau beberapa hakim, termasuk saya, adalah anti-Islam. Malah, ada yang mempersoalkan keimanan saya sebagai seorang Muslim.

“Saya bangun setiap hari berdoa dan berharap agar Allah Yang maha pemurah lagi maha penyayang menerima ibadah dan amal saya. Bukan hak saya untuk mempersoalkan keimanan orang lain kerana saya sendiri tidak akan tahu, sehingga Hari Penghakiman, sama ada Allah menerima ibadah saya,” tambahnya.

Berbalik kepada pengkritiknya, Tengku Maimun, menegaskan bahawa dia tidak akan merendahkan diri dengan serangan tidak berasas, dan mencadangkan agar mereka merenung secara rohani.

“Respon saya kepada mereka adalah bagi anda yang mempunyai masa untuk mempersoalkan iman orang lain, adakah anda cukup yakin bahawa Allah menerima ibadah dan amalan anda sehingga anda kini boleh mempersoalkan ibadah saya dan orang lain?” soalnya.

Pada Februari tahun lalu, Tengku Maimun, yang mengetuai panel sembilan hakim, menyampaikan keputusan majoriti 8-1 dalam cabaran perlembagaan yang difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*