Veveonah Mosibin pernah menggegarkan perbincangan politik Malaysia dengan videonya berkhemah atas pokok demi menduduki peperiksaan dalam talian ketika pandemik.
Gadis luar biasa dari Pitas, Sabah ini, kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan MBBS di Management and Science University (MSU), Shah Alam, bermula 1 Oktober 2024.
Veveonah, 23, yang sebelum ini menamatkan ijazah Sains Marin, berkata dia telah lama menyimpan impian untuk menjadi doktor.
Apa yang lebih menyentuh hati, impiannya ini terinspirasi oleh ibunya, Rofinah Ungo, yang pernah bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Pitas serta kakaknya yang kini seorang jururawat.
“Salah satu sebab saya bercita-cita untuk menjadi doktor di Hospital Pitas adalah menghormati hasrat ibu saya dan meneruskan legasinya – bukan lagi sebagai tukang cuci, tetapi sebagai seorang doktor.
“Cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor adalah untuk berkhidmat kepada manusia, membantu pesakit, serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
Dari pandemik ke hospital
Veveonah juga berkongsi cabaran yang pernah dihadapinya semasa pandemik.
Pada 2021, dia berkata minatnya terhadap pengajian dalam Sains Marin akibat tekanan mental dan kekecewaan dengan pembelajaran dalam talian.
“Saya sangat tertekan dan hilang minat untuk belajar, terutama sekali dalam tempoh pembelajaran dalam talian. Saya merasa terlepas banyak komponen fizikal kursus tersebut,” katanya.
Namun, gadis ini bangkit semula selepas bermuhasabah diri merenung keadaan keluarganya yang serba kekurangan.
Dengan semangat juang tinggi, Veveonah berjaya menamatkan pengajian ijazah muda sains marin dan kini mengorak langkah ke bidang perubatan.
Kisah viral Veveonah pada 2020 bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia terhadap isu sambungan internet di kawasan pedalaman malah telah menyumbang kepada peningkatan infrastruktur digital di Sabah.
“Apa yang paling menarik perhatian saya tentang bidang perubatan ialah keperluan untuk pembelajaran sepanjang hayat.
“Sebagai seorang doktor, kita perlu sentiasa memperoleh pengetahuan baharu untuk memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit.
“Kehidupan mereka sebahagiannya berada di tangan kita, dan kita membuat keputusan penting untuk menyelamatkan nyawa.
“Tanggungjawab dan komitmen inilah yang mendorong saya untuk menceburi bidang perubatan dan mengukuhkan minat saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya lagi.
Tak sesal di hari tua
Mengenai pengalamannya di MSU, Veveonah merasa bersyukur dikelilingi rakan-rakan pelbagai kaum yang saling menyokong.
“Kami berharap dapat berjaya menamatkan pengajian dan housemanship bersama-sama,” tambahnya.
Walaupun tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 9 Disember lalu kerana kos penerbangan yang mahal, semangat Veveonah tetap membara.
“Jangan pernah putus asa dalam mengejar cita-cita supaya tiada penyesalan di hari tua.
“Teruskan perjuangan selagi mampu, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” pesan Veveonah kepada generasi muda.
Dengan iltizam yang tidak pernah luntur, perjalanan Veveonah dari atas pokok ke dewan kuliah perubatan membuktikan segala rintangan mampu diatasi jika disertai dengan tekad dan usaha gigih.
Siapa sangka ‘gadis pokok’ ini menamatkan ijazah sains marin dan kini melangkah ke dunia putih jalur perubatan?
Baca juga :
Leave a Reply