Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara (Tahta) menganggarkan kehadiran pelancong Malaysia ke Thailand pada Disember ini mampu mencecah 500,000 orang.
Bercakap kepada Kosmo! Presiden Tahta, Aida Oujeh berkata, wilayah selatan Thailand sahaja menerima lebih 230,000 hingga hampir 400,000 pelancong Malaysia yang memasuki negara itu menerusi pelbagai jalan darat dari 21 Disember hingga 31 Disember depan.
Katanya, berdasarkan data daripada persatuan itu, kira-kira 4.6 juta rakyat Malaysia melancong ke negara Gajah Putih itu dalam tempoh satu tahun ini.
“Bilik-bilik hotel di kawasan tumpuan pelancong seperti Hatyai habis ditempah pelancong yang majoritinya rakyat Malaysia yang berkunjung ke bandar paling besar di selatan Thailand ini.
“Untuk pengetahuan, sebanyak 30,000 bilik penginapan di Hatyai dan wilayah Songkhla telah habis ditempah oleh pelancong sepanjang musim cuti Krismas hingga sambutan tahun baharu 2025,” katanya di sini baru-baru ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati kawasan tumpuan pelancong seperti Lee Garden umpama Little Malaysia selepas dipenuhi rakyat Malaysia yang bercakap menggunakan bahasa Melayu.
Beberapa kawasan pelancongan lain seperti Sea Verse, pasar terapung Khlong Hae dan Asean Night Bazaar turut dipenuhi pelancong dari negara ini.
Menyentuh mengenai keadaan banjir yang melanda selatan Thailand baru-baru ini, Aida memaklumkan bahawa keadaan sudah pulih sepenuhnya.
“Keadaan semakin baik, banjir sudah kering serta tidak menjejaskan kawasan tumpuan pelancong. Keadaan ini mendorong lebih aktiviti pelancongan lebih rancak di selatan Thailand.
“Untuk perbelanjaan pula, secara purata, seorang rakyat Malaysia akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM600 ketika melancong ke Thailand,” ujarnya.
Baca juga :
Leave a Reply