Nahas ngeri Melaka: Tayar lori tercabut punca 7 maut

MELAKA – Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) malam tadi berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong lorong tengah laluan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, sebanyak lima kenderaan terlibat termasuk sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.

Lima mangsa yang maut merupakan keluarga yang menaiki MPV Estima dikenali sebagai Khairul Izwan Mazupi, 32; isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak mereka, Muhammad Umar, 2, dan bapa, Ramli Ab. Wahab, 66, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.

Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, terselamat, namun masing-masing dilaporkan parah serta mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Melaka.

Dalam pada itu, turut maut adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dan seorang penumpang juga belum dikenal pasti identitinya.

Kesemua mangsa yang maut meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian lori jenis Foton dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan, manakala tiga lagi kenderaan lain dari arah bertentangan.

Ujarnya, kemalangan berlaku selepas tayar hadapan sebelah kanan lori itu yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

“Sebaik tiba ditempat kejadian, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar tersebut mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan semua kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Baca juga :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*