VAGINISMUS atau sindrom faraj terkunci antara penyakit yang dihadapi oleh sebahagian wanita hingga menyukarkan mereka melakukan seks seterusnya menimang cahaya mata.
Situasi itu turut dialami oleh seorang wanita yang mendedahkan tidak dapat melayan batin suaminya selama dua tahun kerana sindrom berkenaan.
Jelasnya dalam tempoh itu, dia dan suami telah berusaha mendapatkan konsultasi di merata tempat, namun masih tidak sembuh.
“Vagina automatik tertutup dan ketat apabila benda asing ada dipermukaannya, ni otot tu sendiri yang bertindak balas bukan dibuat-buat.
“Bapa mentua kata saya mandul padahal dia tak tahu yang saya dua tahun kahwin tapi masih dara.
“Saya betul-betul nak anak, saya tak berhenti berdoa hingga satu hari tu saya terjumpa video mengenai pasangan lesbian,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, dia memaklumkan bahawa salah seorang daripada pasangan songsang itu hamil dengan kaedah memancutkan air mani ke dalam vagina menggunakan picagari.
Dia kemudian cuba memecahkan dara sendiri menggunakan putik kapas walaupun menggigil menahan sakit.
“Esoknya saya cuba untuk masukkan picagari, makan masa tiga hari untuk beranikan diri akhirnya berjaya.
“Saya pun buat cara macam lesbian tu buat, saya kira hari subur dan masukkan air mani guna picagari masa hari subur.
“Alhamdulillah Allah dengar doa saya, saya berjaya hamil tanpa berhubungan badan,” katanya.
Wanita itu mendedahkan dia tidak memberitahu doktor masalah vaginismus yang dihadapinya sehinggalah usia kandungan mencecah tujuh bulan.
“Menangis saya cerita kat jururawat, mereka terkejut dan rujuk saya pada pakar tapi tak boleh ambil tindakan sebab dah sarat.
“Saya disaran bersalin cara pembedahan. Nak dijadikan cerita turun tanda awal, doktor gagal seluk sebab saya vaginismus.
“Mereka terus tolak ke bilik bedah dan Alhamdulilah anak saya selamat dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram,” katanya.
Katanya, ketika berada dalam wad semua doktor dan pakar mengerumuni dan menyiasat penyakit dialaminya.
“Lepas habis pantang, saya dapatkan rawatan. Alhamdulillah saya berjaya sembuh dan dapat lakukan hubungan badan.
“Saya dan suami tak sangka di tahun 2024 ini Allah selesaikan masalah utama kami suami isteri, yang lama bersabar,” katanya.
Dia dalam pada itu menasihatkan pasangan yang berdepan masalah yang sama mengenepikan perasaan malu dan segera mendapatkan rawatan.
“Kalau tak jumpa doktor, memang sampai ke sudah susah nak pulih dengan sendirinya sebab tahap vaginismus ni berbeza.
“Rawatan yang diberikan pun berbeza mengikut tahap penyakit,” katanya.
Wanita ini berkata dia sebenarnya malu untuk berkongsi pengalaman, tetapi sedar ia adalah isu besar untuk sesetengah wanita dan perlu diketengahkan.
“Saya jumpa pakar, ramai yang cakap penyakit ni salah satu punca ramai pasangan bercerai, jadi saya buat posting ni untuk ketengahkan isu ni supaya yang ada penyakit ni tahu mereka tidak keseorangan,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply