Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan dia tidak bersetuju sekiranya pelukis grafik Fahmi Reza ditahan atau dituduh gara-gara berkarya.
Katanya, bukan setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat, terutamanya apabila ia tidak berkaitan dengan isu 3R (Royalti, Agama, Bangsa).
“Fahmi Reza, saya tidak setuju didakwa dan ditangkap…
“Kerana secara terus-terang, saya fikir untuk maksud hal ini, saya nak gesa dan nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis, dalam kes kritikan kepada perdana menteri, biar sajalah.
“Tetapi kalau ia melanggar (batas) macam sekarang ini melibatkan Raja-Raja, itu di luar (bidang kuasa) saya.
“Majlis Raja-Raja kata tak setuju Raja-Raja disepak terajang kerana Raja-Raja tak boleh jawab dan bukan dalam permainan politik,” kata Anwar kepada media di Subang Jaya semalam.
Fahmi disiasat oleh Bukit Aman berhubung grafik mengenai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru dilantik, Musa Aman dan disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Bagaimanapun, Anwar memberi peringatan kadang-kadang hasutan mencuit perasaan agama yang kuat.
“Jadi saya tidak setuju nak ambil semua kes yang mengkritik kerajaan dan menyindir, tak payah.
“Tetapi kalau ia melibatkan kaum dan agama, itu susah jika kita mula ‘memaafkan’… ini boleh pecah belah kita,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply